Wednesday, May 12, 2010

Jenis Ancaman

Ancaman Semulajadi
* Ancaman semulajadi kepada telur.

Telur yang ditanam di dalam tanah merupakan pelindungan yang penting. Bagaimanapun terdapat haiwan seperti biawak, yang menggali telur tersebut sebagai makanan.

* Ancaman semulajadi kepada anak penyu.

Apabila telur tersebut menetas, anak penyu akan segera merangkak ke arah gigi air untuk berlindung. Haiwan seperti burung, biawak dan pemangsa lain akan sentiasa mencari peluang untuk menangkap anak penyu yang lemah ini. Anak penyu pipih (‘Flatback’) yang hidup di Australia terdedah kepada pucung malam (‘Rufous’) yang boleh memakan 100% anak penyu pipih yang menetas.

* Pemangsaan di laut

Anak penyu yang terselamat akan berenang dan memulakan hidup mereka di laut berhampiran dengan pantai. Tidak banyak yang diketahui tentang apa yang dibuat oleh anak penyu selepas menetas tetapi pemangsa di laut seperti ikan yang besar seperti ikan jerung, dipercayai memburu anak-anak penyu sebagai makanan.

* Ancaman semulajadi kepada penyu dewasa.

Apabila penyu meningkat dewasa, tidak banyak pemangsa yang menjadi ancaman kepada mereka kecuali pemangsa yang besar seperti ikan jerung. Ini disebabkan kerangka mereka yang keras melindungi mereka dengan baik.

* Ancaman wabak penyakit

Wabak penyakit boleh membunuh penyu di sesuatu kawasan secara menyeluruh. Ini mungkin di sebabkan pencemaran di kawasan tersebut telah menghasilkan virus ataupun bakteria yang mengalami mutasi ataupun daya ketahanan badan penyu di kawasan tersebut telah lemah akibat pencemaran air laut.

* Ancaman hakisan pantai

Hakisan pantai mengurangkan lagi tempat untuk penyu bertelur. Oleh kerana penyu akan kembali ke pantai tempat ia menetas untuk bertelur, kehilangan pantai tempat ia menetas akan mengancam generasi penyu yang akan datang.

* Perubahan cuaca sejagat

Jantina penyu yang menetas di tentukan oleh suhu pengeraman. Oleh itu perubahan suhu sejagat yang menyebabkan suhu pengeraman kurang daripada 29 darjah selsius akan menghasilkan lebih banyak penyu jantan. Sebaliknya, perubahan suhu melebihi 29 darjah selsius akan membiakkan lebih banyak anak penyu betina. Ketidak seimbangan jantina penyu mungkin akan mengancam kewujupan penyu yang hanya matang pada tempoh 20 hingga 30 tahun.


Penyu sedang mereput



Pukat Tunda

Ancaman Manusia




* Pembangunan pantai.

Kegiatan membina hotel, kawasan perumahan, kawasan meletak kereta, benteng penghalang hakisan di kawasan persisiran pantai mengancam kawasan penyu bertelur. Ini disebabkan halangan, cahaya dan bunyi bising menghalang dan menakutkan penyu daripada mendarat untuk bertelur. Kehadiran lebih ramai manusia berhampiran dengan tempat penyu bertelur juga meningkatkan kadar gangguan kepada penyu yang cuba bertelur seperti gangguan lampu suluh, unggun api di pantai, lampu flash kamera, aktiviti sukan jetski, kenderaan bermotor di pantai, dan tindakan vandalisma mencederakan penyu seperti membaling batu, botol, dan kayu kepada penyu. Kegiatan lain seperti melombong pasir pantai dan menebang pokok di pantai juga telah mengurangkan kawasan penyu bertelur.

* Kegiatan pelancongan di luar kawal.

Kegiatan pelancungan yang tidak terkawal seperti menyalakan unggun api, menyanyi dengan kuat, membuang sampah merata-rata, mengganggu penyu bertelur, menyuluh dengan lampu suluh, mengambil gambar dengan flash merupakan gangguan yang di hadapi oleh penyu yang ingin bertelur. Kegiatan memungut telur penyu untuk dijual, menangkap anak penyu untuk diawetkan sebagai cenderahati pelancung juga merupakan ancaman kepupusan kepada penyu.

* Punca cahaya buatan

Anak-anak penyu yang baru menetas akan menuju kearah gigi air berpandukan cahaya. Ini adalah kerana cahaya langit di atas laut adalah lebih cerah daripada langit di daratan. Ini berlaku pada kedua-dua waktu siang dan malam. Bagaimanapun, cahaya buatan manusia pada waktu malam menjadikan anak penyu sesat dan hilang arah. Ini menyebabkan mereka lemah dan mudah menjadi mangsa apabila siang menjelma. Oleh itu adalah penting lampu tidak di pasang menghala kearah pantai pada musim penyu bertelur untuk mengelakkan kejadian ini terjadi.

* Ancaman pukat

Kegiatan nelayan yang menggunakan pukat hanyut dan pukat tunda juga mengakibatkan banyak penyu yang lemas apabila terperangkap dalam pukat tersebut. Ini adalah kerana penyu tidak dapat bernafas di dalam air dan perlu timbul untuk bernafas. Bagaimanapun kini terdapat pukat yang mempunyai alat keselamatan yang membolehkan penyu membebaskan diri apabila terperangkap. Bagaimanapun, penggunaan pukat keselamatan ini masih tidak meluas. Di negara luar selain Malaysia, terdapat juga nelayan yang menangkap penyu untuk mendapatkan daging dan kerangka penyu seperti yang di hadapi oleh penyu Agar.

* Ancaman pencemaran.

Pencemaran laut akibat tumpahan minyak menyalut dan membunuh hidupan laut termasuk penyu. Sisa tumpahan minyak yang akhirnya membentuk bebola tar, beg plastik dan styroform boleh menyebabkan kematian penyu dan anak penyu yang berada di kawasan laut cetek dengan menyebabkan perut penyu tersumbat apabila dimakan. Ini akan mengakibatkan penyu tersebut tidak dapat mencerana makanan dan akhirnya mati kelaparan. Terdapat juga pembuangan bahan toksik, logam-logam berat, dan bahan beradioaktif oleh pihak tidak bertanggung jawab ke dalam laut yang mengakibatkan pencemaran laut yang teruk.

Disebabkan oleh ancaman manusia, penyu yang telahpun hidup selama berjuta tahun ini telah diancam kepupusan. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua untuk membantu agar haiwan yang mengkagumkan ini akan terus berkekalan

No comments:

Post a Comment